Dua lelaki dipercayai warga asing berusia awal 30-an maut dilanggar sebuah treler selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di KM216.2 Lebuh Raya Plus, berdekatan Alor Gajah.

Dalam kejadian jam 10 malam tadi, kedua-dua suspek itu bersama dua lagi rakannya cuba meloloskan diri melintas lebuh raya selepas memberhentikan kenderaan jenis Proton Iswara mereka di lorong kanan lebuh raya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, dua rakan mereka Berjaya menyeberangi lebuh raya itu tetapi mangsa terbabit gagal melintasinya dan dirempuh treler.

“Suspek cuba melarikan diri daripada anggota ronda cegah jenayah yang ingin melakukan pemeriksaan selepas mendapati cermin belakang kereta yang dipandu pecah.

“Suspek kemudian memberhentikan kereta di lorong kanan lebuh raya dan cuba menyeberanginya.

“Dua suspek berjaya melarikan diri manakala dua lagi dilanggar sebuah treler dan maut di tempat kejadian,” beliau beritahu pemberita semasa ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka, Bukit Beruang.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Hasil pemeriksaan mendapati kereta yang dinaiki itu didaftarkan di atas nama seorang wanita beralamat di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.