IPOH: Kerajaan negeri Perak melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) komited untuk terus memberikan kebenaran kepada penjaja kecil dalam tempoh pandemik yang mencabar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashlin Mohammad Radzi berkata, pihak PBT akan memberi kelulusan/kebenaran dan permit sementara serendah RM5 sebulan kepada penjaja dan peniaga kecil makanan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, kata beliau, kebenaran itu turut mengambil kira faktor keselamatan penjaja supaya tidak menghalang kawasan lalu lintas dan mengakibatkan kacau ganggu di samping perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, antara strategi PBT ialah mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk menempatkan semula penjaja kecil makanan yang beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“Usaha ini akan dapat membantu penjaja tersebut meneruskan perniagaan dengan lebih tersusun dan teratur,” katanya ketika menjawab soalan lisan Abdul Aziz Bari (PH - Tebing Tinggi) di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Di samping itu, kata beliau, pihak PBT turut menyediakan platform digital untuk memudahkan urusan memohon dan memperbaharui lesen perniagaan tanpa perlu mereka hadir secara fizikal ke Majlis yang boleh meningkatkan risiko penularan wabak.

Beliau memberi contoh, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) amat prihatin berhubung masalah peniaga kecil makanan yang terkesan dengan PPN.

Sehubungan dengan itu, katanya, pihak Majlis Bandaraya Ipoh telah melonggarkan sedikit syarat-syarat lesen dan memperkenalkan Permit Penjaja Sementara (PPS) yang mula diperkenalkan dan dilaksanakan sejak bulan November 2020 dan telah disambung tempoh sehingga Disember 2021 kepada peniaga-peniaga yang ingin menjalankan perniagaan.

Beliau memberitahu, sehingga Julai 2021, terdapat sebanyak 682 bilangan permohonan PPS diterima dan hanya 524 bilangan permit yang diberi kelulusan kerana telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak MBI.

“Sebanyak RM10 dikenakan ke atas bayaran PPS sebulan. Jenis jualan yang dibenarkan adalah seperti kuih muih, nasi lemak, mi, bihun, lauk dan makanan bermasak dan dijual secara take away. Jualan seperti ikan dan sayur (bahan mentah) adalah tidak dibenarkan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, pengecualian sewa bulanan turut diberi kepada peniaga makanan yang menyewa gerai-gerai makanan milik MBI pada bulan April, Mei dan Jun 2020, Disember 2020 hingga Februari 2021 dan Jun 2021.