SHAH ALAM: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor penggal ke-14 pada 23 Jun ini memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dijalankan.

Dengan pengisytiharan pembubaran itu, PRN mesti diadakan selewat-lewatnya pada 23 Ogos iaitu 60 hari daripada tarikh DUN dibubarkan.

Astro AWANI turut ke lapangan untuk mendapatkan pendapat pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka.

 Ubaidilah Jamil, 49, harapannya ingin melihat Negeri Selangor terus maju. Gambar: Astro AWANI

Menurut Ubaidilah Jamil, 49, harapannya adalah untuk melihat kestabilan politik di negeri itu kekal seperti sebelum ini.

"Saya rasa sebaiknya kekalkan kestabilan (politik) yang dah di tahap sekarang, sebab saya rasa negeri Selangor sebuah negeri maju dan jadi benchmark negeri lain.

"Jadi kalau ada perubahan nak ditawarkan di Selangor mesti ada wow factor lebih daripada sekarang," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI.

Selain tadbir urus yang telus, ujarnya, beberapa perkara boleh dijadikan fokus, antaranya mengenai isu kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan, yang menurutnya boleh ditambah baik.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor penggal ke-14 pada 23 Jun ini memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). Gambar: BERNAMA

Sementara itu, bagi peniaga di Shah Alam, Zalila Mohd Amin, harapan disandarkan agar kerajaan negeri baharu nanti dapat memberi lebih kemudahan kepada mereka.

"Kami sebagai peniaga nakkan pembentukan kerajaan selepas ini memberikan impak yang maksimum kepada peniaga, khususnya peniaga kecil dan sederhana negeri Selangor.

"Jika boleh dimanfaatkan... bolehlah sekiranya kerajaan baharu nanti berikan kemudahan kepada kami daripada segi pemohonan lesen, kemudahan pinjaman lain untuk peniaga-peniaga," jelasnya.

Lain pula harapan disandarkan Nurul Hayati Jamil, 40, yang mahu lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan kepada golongan muda di negeri itu, lebih-lebih lagi bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup yang memberi tekanan kepada rakyat ketika ini.

"Sebagai pengundi, diharapkan PRN nanti akan memberi kestabilan politik kepada kerajaan negeri dan seterusnya menyumbang kepada kestabilan Kerajaan Persekutuan.

"Ia akan menyumbang kemakmuran perkembangan ekonomi untuk rakyat negeri dan seterusnya keseluruhannya negara kita.

"Saya juga mengharapkan... dapat memberi peluang pekerjaan yang lebih kepada anak muda dan belia, khususnya dengan keadaan ekonomi sekarang yang tak menentu dan kos sara hidup yang tinggi," jelasnya.

Nur Haslinda Nordin, 47, pula berpendapat lebih banyak inisiatif perlu diperkemas terutamanya melibatkan penduduk di kawasan kampung.

Ujarnya, menerusi perniagaan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

"Pada saya dari segi ekonomi itu berkembang, masyarakat penduduk kampung boleh jalankan perniagaan untuk menampung kehidupan.

"Keduanya infrastruktur... Sekarang dah okay... (tapi) nak lagi ia bertambah baik supaya boleh digunakan penduduk," katanya lagi.

PRN Negeri Selangor bakal menyaksikan 56 kerusi DUN dipertandingkan. Pada PRU-14 lalu, Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi dua pertiga iaitu 51 daripada 56 kerusi DUN.