Skip to main content

Malaysia

Dunia Islam perlu kuasai AI sambil pelihara nilai moral, warisan Islam

KERALAM, 13 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis "'Gathering of Honour Prime Minister Malaysia "' serta majlis ilmu di Markazu Saquafathi Sunniya yang juga dikenali sebagai Jamia Markaz malam ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Anwar berucap pada “Gathering of Honour Prime Minister Malaysia” di Markazu Saquafathi Sunniya yang turut dikenali sebagai Jamia Markaz, di Calicut, Keralam, India, pada Ahad. - Gambar Bernama
Advertisement

KERALAM, INDIA: Dunia Islam perlu menguasai kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu sambil memastikan agama, nilai moral dan warisan Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 hadirin termasuk ulama dan pelajar Muslim, Anwar berkata, para ulama dan masyarakat Islam tidak boleh terus terpisah daripada perkembangan pesat AI dan teknologi moden kerana kekurangan pengetahuan dan pemahaman mengenainya boleh menyebabkan mereka terdedah kepada pengaruh luar.

“Tanpa ilmu, kita akan gagal. Tanpa memahami AI, kita akan dijajah oleh kuasa asing untuk melemahkan pendirian kita,” kata beliau ketika berucap pada  “Gathering of Honour Prime Minister Malaysia” di Markazu Saquafathi Sunniya yang turut dikenali sebagai Jamia Markaz, di Calicut, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, cabaran yang dihadapi masyarakat Islam bukan sekadar memperoleh pengetahuan dan kepakaran dalam AI, tetapi memastikan kemajuan teknologi turut dipandu oleh agama dan nilai moral.

Perdana Menteri berkata, perkara itu amat penting kerana teknologi bukan sesuatu yang bebas daripada prinsip, dan boleh mempengaruhi nilai, etika serta kepercayaan masyarakat jika tidak ditangani dengan berhati-hati.

Anwar turut menekankan kepentingan memelihara turath (warisan keilmuan Islam), dan dunia Islam tidak seharusnya mengetepikan al-Quran, sunah dan karya ulama terkemuka ketika menguasai ilmu dan teknologi baharu.

“Warisan Islam memperlihatkan kepentingan sikap bertolak ansur, kebijaksanaan dan penglibatan secara membina, termasuk dalam hubungan antara umat Islam dengan penganut agama lain,” kata beliau.

Beliau berkata, pendekatan Malaysia MADANI berteraskan nilai kemanusiaan, hormat-menghormati serta persahabatan antara masyarakat berbilang kaum dan agama, selain tetap berpaksikan agama Islam serta kerangka moral. 

Mengenai lawatannya ke Keralam, Anwar berkata, negeri itu mempunyai hubungan sejarah yang erat dengan dunia Melayu dan memainkan peranan penting dalam penyebaran serta perkembangan ilmu Islam di seluruh Kepulauan Melayu termasuk Singapura, Brunei, Indonesia dan selatan Filipina.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi kerana mempermudah lawatannya ke Keralam, yang diadakan bersempena dengan lawatan rasmi ke India untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi.

Anwar berkata, beliau turut menantikan pertemuan dengan Ketua Menteri Keralam, V. D. Satheesan dan anggota Kabinet negeri itu bagi membincangkan langkah-langkah untuk terus memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Keralam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Keralam, anggota keselamatan, pegawai dan pihak lain yang terlibat dalam mempermudah kunjungan ke Jamia Markaz dan kerjasama daripada masyarakat bukan Islam turut membuktikan pentingnya sikap saling menghormati dan bekerjasama ke arah mencapai matlamat bersama.

Terdahulu, Anwar menerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar yang julung-julung kali dianugerahkan sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan awam beliau selama lebih lima dekad, serta sumbangannya dalam bidang pendidikan, keilmuan Islam, pembangunan institusi, dialog antarabangsa dan kesejahteraan manusia.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement