KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, menyumbangkan sebanyak 33 buah buku Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada Sichuan International Studies University (SISU), di wilayah Chongqing, China, dalam usaha untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu di republik itu.

Nushirwan menyerahkan sumbangan itu kepada timbalan presiden universiti berkenaan, Zhu Chaowei dalam satu pertemuan yang diadakan pada Khamis (18 Mei), menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Education Malaysia di Beijing.

"Dalam pertemuan itu, Nushirwan menyerahkan sumbangan buku Bahasa Melayu terbitan DBP yang antaranya mengandungi buku-buku tatabahasa, koleksi novel dan karya-karya Sasterawan Negara kepada universiti itu yang telah menubuhkan Jabatan Bahasa Melayu sejak tahun 2020," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sesi interaksi antara kedua-dua pihak yang dijalankan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah berjalan lancar, sekali gus menjadi manifestasi tanda sokongan berterusan kerajaan Malaysia kepada perkembangan pembelajaran Bahasa Melayu di China.

Beliau berkata 2024 merupakan tahun penting bagi Malaysia dan China, memandangkan kedua-dua negara akan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Justeru, beliau menzahirkan harapan agar Bahasa Melayu akan terus berkembang menjadi bahasa ilmu yang lebih hebat, berwibawa dan berpengaruh di seluruh dunia amnya dan di China khususnya, di samping memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan hubungan persahabatan dalam kalangan rakyat kedua-dua negara.

Beliau berharap agar siswazah Pengajian Melayu di China akan mendapat peluang kerjaya yang baik dalam syarikat-syarikat China yang melabur di Malaysia, seterusnya membantu urusan komunikasi dalam urusan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Zhu Chaowei berkata pemberian sumbangan itu tepat pada masanya dan SISU sedang memperbanyakkan sumber bahan bacaan dan pembelajaran Bahasa Melayu di kampusnya.

"SISU percaya bahasa adalah jambatan budaya dan pembelajaran Bahasa Melayu di China akan mengeratkan interaksi budaya dan perpaduan antara negara China dengan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA