KUALA LUMPUR: Duta Malaysia ke Senegal, Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin yang menamatkan tugasnya telah dikurniakan 'National Order of the Lion', anugerah tertinggi kerajaan Senegal, oleh Presiden Mack Sally pada Rabu.

Shazelina adalah rakyat Malaysia pertama yang menerima penghargaan itu di rantau Afrika Barat atas sumbangannya dalam aspek hubungan dua hala.

Anugerah kelas Panglima itu adalah penghormatan tertinggi kepada rakyat asing, dengan hanya 200 penerima masih hidup pernah menerimanya.

Dalam wawancara dengan Bernama pada hari terakhirnya di Dakar sebelum pulang ke Malaysia pada Khamis, Shazelina berkata, bukan hanya penghargaan itu yang membuatkannya berasa terharu tetapi bagaiamana ia disampaikan.

"Memandangkan saya mungkin tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepadanya sebelum meninggalkan negara ini, saya mengutus surat kepadanya dan bertemu Penasihat Diplomatik di pejabatnya pada Isnin.

"Kemudian, saya dimaklumkan Presiden yang sedang bercuti sempena musim panas akan meluangkan masa untuk bertemu saya di Istana Presiden pada Rabu," katanya.

Duta Malaysia ke Senegal, Shazelina Zainul Abidin dikurniakan 'National Order of the Lion', anugerah tertinggi kerajaan Senegal, oleh Presiden Mack Sally. – Gambar Facebook

"Saya berasa amat berbesar hati, anugerah ini bukanlah milik saya secara peribadi tetapi ia juga untuk Malaysia atas kapasiti sebagai duta. Saya gembira berkhidmat di Senegal," katanya.

Shazelina dilantik sebagai Duta Malaysia ke Senegal pada November 2017 dan pertama kali berkhidmat sebagai duta.

"Penduduk Senegal sangat ramah. Mereka memiliki tagline "Teranga" yang bermaksud "keramahan", sama seperti ramahnya rakyat Malaysia.

Mengenai hubungan Malaysia-Senegal pada masa depan, beliau berharap hubungan sedia ada akan terus kekal utuh dah terus berkembang maju.

Kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ke Dakar pada Januari 2019, setelah 27 tahun mendorong kembali momentum itu, tambahnya.

"Saya berharap dapat melihat hubungan yang lebih kukuh di masa depan. Terdapat banyak projek yang sedang dalam proses, dan kita harus keluar daripada mentaliti hanya untuk 'menjual' produk.

"Kita perlu membina hubungan, dan itu memerlukan masa dan usaha. Bukan hanya sekadar menjual produk," kata Shazelina. - BERNAMA