Skip to main content

Malaysia

E-buku, penerbitan kendiri buka peluang penulis baharu berkarya

E-Buku
Penerbitan digital turut memberi peluang kepada penulis menjangkau khalayak lebih luas dan memperoleh pulangan lebih baik, di samping memudahkan akses kepada bahan bacaan terutama dalam kalangan pelajar. -Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Buku elektronik atau e-buku dan penerbitan kendiri kini membuka ruang lebih luas kepada penulis baharu di Malaysia untuk menghasilkan karya dengan kos lebih rendah, selain memberi mereka lebih kawalan terhadap kandungan dan penerbitan karya sendiri.

Presiden Intellectual Authors Club (IAC) S Nahanthiran berkata penerbitan digital turut memberi peluang kepada penulis menjangkau khalayak lebih luas dan memperoleh pulangan lebih baik, di samping memudahkan akses kepada bahan bacaan terutama dalam kalangan pelajar.

“Penerbitan e-buku semakin relevan bagi penulis baharu kerana ia mengurangkan halangan yang lazimnya dihadapi dalam industri penerbitan, termasuk membolehkan mereka mengelakkan kos percetakan serta menikmati margin keuntungan lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Nahanthiran yang telah menghasilkan lebih 18 e-buku dalam pelbagai genre berkata peningkatan minat terhadap penerbitan kendiri turut didorong keinginan penulis untuk mempunyai lebih kawalan terhadap kandungan, persembahan karya serta hak pemilikan.

“Industri penerbitan kini semakin kompetitif dan kosnya agak tinggi. Apabila menerbitkan karya menerusi syarikat penerbitan, penulis mungkin hanya menerima sebahagian kecil hasil dalam bentuk komisen, selain mempunyai kawalan yang lebih terhad terhadap karya mereka.

“Justeru, alternatif lain ialah penerbitan kendiri yang membolehkan penulis menentukan kandungan, gaya dan reka bentuk buku, selain menikmati margin keuntungan lebih tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Nahanthiran berkata penulis bebas yang baharu berkecimpung dalam bidang itu masih berdepan beberapa cabaran termasuk mengenal pasti platform penerbitan sesuai serta memastikan karya mereka dapat menjangkau khalayak lebih luas.

Mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata teknologi itu boleh membantu penulis mengatasi kebuntuan idea, merangka susunan bab serta meneroka pelbagai hala tuju penceritaan dengan lebih pantas.

Namun, beliau mengingatkan penulis supaya tidak terlalu bergantung kepada AI untuk menghasilkan penceritaan dan penulisan sebenar sesebuah e-buku kerana tindakan itu boleh menjejaskan kredibiliti penulis selain menimbulkan persoalan etika berkaitan kepengarangan.

“Saya sentiasa mengingatkan pelajar supaya tidak menggunakan AI untuk menulis e-buku. Adalah tidak beretika untuk mengaku sebagai penulis sedangkan teks itu pada asasnya diambil daripada sumber lain.

“Sebaliknya, gunakan AI untuk membantu menyemak pemilihan kata dan struktur ayat yang betul. Di sinilah terletaknya kekuatan sebenar dalam penulisan,” katanya.

Nahanthiran berkata penulisan e-buku memerlukan pendekatan berbeza berbanding buku bercetak, terutama dari segi struktur, rentak penceritaan dan penggunaan bahasa yang lebih mudah serta sesuai dengan pembaca digital.

Beliau berkata penulis baharu perlu memahami perbezaan itu sebelum memulakan proses penulisan kerana kurangnya pengetahuan mengenai format digital boleh menyebabkan sesebuah manuskrip mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk disiapkan.

Bagi membantu penulis baharu mendepani cabaran berkenaan, IAC memperkenalkan pendekatan latihan dan bimbingan secara berstruktur bagi membolehkan peserta menyiapkan draf pertama e-buku dalam tempoh 24 jam, sebelum dibimbing untuk memperkemas kandungan, membuat pemformatan serta memahami proses penerbitan.

Pelancaran e-buku terbaharu kelab itu di University of Wollongong Malaysia di Shah Alam pada 15 Ogos lepas menampilkan karya lima ahlinya iaitu Nahanthiran, Rajvin Kaur, Dr Dee Duriati, Dr Eva Wong dan Farra Hashim.

Program yang disempurnakan Pengarah Kanan Kehidupan dan Kesejahteraan Pelajar HELP University Dhanesh Balakrishnan itu turut mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap penerbitan digital sebagai platform untuk rakyat Malaysia berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pandangan.

IAC turut menganjurkan bengkel penulisan, program pemukiman, ceramah, aktiviti jaringan serta khidmat masyarakat berkaitan bidang penulisan dan penerbitan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement