KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (Economic Action Council) secara prinsip bersetuju mempertimbangkan bantuan geran khusus kepada usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan tersebut adalah berasingan daripada bantuan kewangan yang disediakan agensi-agensi kerajaan sebelum ini.

"Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama MEDAC, kementerian dan agensi berkaitan serta Dewan-Dewan Perniagaan bagi memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dibentangkan untuk pertimbangan Kerajaan.

"Lawatan susulan ke lokasi yang dikenal pasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir PMKS sampai ke kumpulan sasaran.

"InsyaAllah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan dimuktamadkan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

SEMUA BERHUBUNG TRAGEDI BANJIR 2021 DI SINI 




Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat EAC yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan dan Pengarah Eksekutif EAC, Tan Sri Noor Azlan Ghazali serta beberapa jabatan kerajaan.

Dalam mesyuarat itu, Ismail Sabri berkata impak banjir ke atas Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk peniaga informal telah dibincangkan secara terperinci.

"Mesyuarat turut mendengar keluhan daripada dua orang usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi," katanya.

Justeru, beliau berkata kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin.