KUALA LUMPUR: Pembukaan tanah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor tidak melibatkan sebarang kawasan simpanan hutan yang dinyah warta, termasuk yang berada dalam kawasan Taman Negeri Selangor, kata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Sebaliknya pemilik ECRL itu berkata bagi memelihara alam sekitar, projek itu mematuhi laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang diluluskan, pelan pengurusan alam sekitar dan garis panduan rancangan kawalan hakisan dan sedimen, serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Bagi memudahkan kerja-kerja persediaan pembinaan ECRL, MRL telah mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan supaya kontraktornya boleh memasuki hutan simpan untuk menjalankan aktiviti berlesen yang berkaitan dengan ECRL," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan MRL bagi menjawab dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini bahawa ia mendapati terdapat aktiviti pembersihan tanah di empat kawasan di Taman Negeri Selangor.

Mengenai EIA, yang merupakan keperluan mandatori di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, MRL berkata penilaian itu telah dikemukakan kepada JAS pada 30 Nov 2021 dan telah diluluskan pada 20 Dis 2021.

"Untuk rekod, skim kereta api ECRL bagi Seksyen C2 (Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang) telah diberikan oleh Kementerian Pengangkutan kepada MRL pada 14 Jan 2022, selepas pemeriksaan awam selama tiga bulan mengikut keperluan statutori Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Pada 14 Sept 2022, kami menerima kelulusan daripada kerajaan negeri Selangor untuk meneruskan pembinaan jajaran ECRL Seksyen C2 di Selangor," katanya.

Menurutnya aktiviti pembinaan ECRL di bawah Seksyen C2, yang terletak sepenuhnya di Selangor, dijalankan secara berhemah, berunding dengan komuniti tempatan serta semua pihak berkepentingan yang berkaitan, dan mengikut keperluan kawal selia.

"Bagi projek kami yang sedang berlangsung di Selangor, kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan di semua peringkat, termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), JAS, dan semua majlis tempatan yang berkaitan.

"Selain itu, kedua-dua MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) secara proaktif mengadakan mesyuarat dan sesi penglibatan dengan pihak berkuasa negeri Selangor dan semua pihak berkepentingan projek ECRL, termasuk komuniti tempatan yang tinggal berhampiran tapak kerja ECRL ," katanya.

Syarikat itu menekankan bahawa bersama dengan kontraktor utama, CCC-ECRL komited untuk mematuhi sepenuhnya semua keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk melindungi alam sekitar dan menjaga kepentingan awam.

-- BERNAMA