JOHOR BAHRU: Seorang pemasang jubin dihukum penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.024 kilogram, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Hayati Mat menjatuhkan hukuman itu terhadap Teh Geok Chin, 47, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan bapa kepada seorang anak itu menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh ditangkap iaitu 18 April 2019.

Isteri Teh, Nguyen Thi Thanh Tuyen, 25, warga Vietnam pula dilepas dan dibebaskan selepas pertuduhan yang sama terhadapnya ditarik balik.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berkenaan di sebuah unit apartmen di Jalan Suria Muafakat 1, Larkin, di sini, pada 12.10 tengah malam, 18 April 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau jika tidak dihukum mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nasrudin Mohamed manakala peguam K. Kalaichelvan mewakili kedua-dua tertuduh.

-- BERNAMA