Ejen syarikat e-waste mengaku tidak bersalah beri rasuah RM50,000 kepada pegawai JAS

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Seorang ejen syarikat pelupusan sisa elektronik hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberi rasuah wang tunai berjumlah RM50,000 kepada seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) tahun lepas.
Soon Kei Chong, 40, didakwa melakukan perbuatan itu pada di Jalan Zamrud, Kawasan Perindustrian Nilai, pada kira-kira 1 tengah hari 12 Feb tahun lepas mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Mengikut pertuduhan, rasuah itu sebagai dorongan agar tindakan undang-undang tidak diambil terhadapnya di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi kesalahan tidak memiliki lesen premis, tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah, tiada kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar dan larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta dua syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Azrul Zulkifli Stork bersetuju dengan jumlah jaminan dan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan namun memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya tidak memiliki pasport antarabangsa.
Hakim N.Kanageswari membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan yang dimohon pendakwaan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menetapkan 6 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


