MALAYSIA
Eksesais Keris Strike 2025 libat lebih 4,000 tentera tiga negara

Eksesais tahunan ini memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan keupayaan operasi bersama serta memantapkan hubungan ketenteraan. - Foto: TDM
IPOH: Lebih 4,000 anggota tentera terlibat dalam Eksesais Keris Strike Siri 30/2025 yang melibatkan kerjasama tiga hala antara Tentera Darat Malaysia (TDM), United States Army Pacific Command (USARPAC) dan Tentera Darat Australia hari ini.
Sel Perhubungan Awam Markas TDM memaklumkan dalam kenyataan anggota terdiri daripada 415 pegawai dan 3,322 anggota lain-lain pangkat (LLP) daripada TDM, 50 pegawai dan 183 LLP USARPAC serta tujuh pegawai dan 129 LLP Tentera Darat Australia.
"Eksesais tahunan yang kini memasuki siri ke-30 bertujuan memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan keupayaan operasi bersama (interoperability) serta memantapkan hubungan ketenteraan di antara negara-negara yang terlibat.
"Sejak mula dianjurkan, eksesais ini telah menjadi platform penting bagi latihan ketenteraan gabungan, yang merangkumi komponen seperti Staff Exercise (STAFFEX), Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Cross Training Exercise (CTX) dan Field Training Exercise (FTX)," menurut kenyataan itu.Latihan berkenaan dilaksanakan bermula hari ini hingga 29 Julai merangkumi kawasan strategik di sekitar Sungai Siput hingga Lenggong, Perak.
"Fasa FTX yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 29 Julai 2025 akan menjadi komponen utama eksesais ini, seterusnya memperlihatkan tahap kesiapsiagaan dan koordinasi bersama antara angkatan tentera yang terlibat," menurut kenyataan itu.
Eksesais berkenaan bukan sahaja mengukuhkan kebersamaan ketenteraan tetapi juga menjadi simbol komitmen Malaysia dan rakan-rakan strategik dalam menjaga keselamatan serta kestabilan serantau.
Terdahulu, eksesais itu dirasmikan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Australian Assistant Defence Advisor to Malaysia Wing Commander Mike Edwards dan Deputy Commanding General, 25th Infantry Division, United States Army Col Jim D Kiersey.
Majlis berkenaan berlangsung di Padang Kawad Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) di sini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami