Skip to main content

Malaysia

Eksport kayu cecah RM9.4 bilion, kerajaan perkasa produk gaharu ke pasaran global

Mohammad Luqman Bin Abdul Aziz
Noraini (tengah) berkata kementerian kini memperkukuh aspek kebolehkesanan selain meneroka pasaran baharu bagi memastikan lebih banyak produk tempatan dapat dipasarkan di peringkat antarabangsa. -Gambar Astro AWANI/Mohammad Luqman Abdul Aziz
Advertisement

PETALING JAYA: Industri kayu negara terus menyumbang secara signifikan kepada negara dengan nilai eksport mencecah RM9.4 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, manakala purata nilai eksport tahunan melebihi RM20 bilion.

Angka itu mencerminkan potensi besar sektor berkenaan untuk terus diperkasa, termasuk menerusi produk bernilai tambah berasaskan kayu dan gaharu bagi menembusi pasaran global.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata kementerian kini memperkukuh aspek kebolehkesanan selain meneroka pasaran baharu bagi memastikan lebih banyak produk tempatan dapat dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, kementerian turut membantu usahawan tempatan memperluas pasaran produk mereka, bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah sehingga ke peringkat eksport.

"Kalau boleh, mereka uruskan eksport produk mereka ke luar negara. Untuk produk wangian yang kita fokus hari ini, saya fikir ia lebih mudah untuk dipasarkan ke luar negara.

"Namun, ia bergantung kepada jenama dan kita perlu memperkukuh jenama serta pasaran kerana perkara itu sangat penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Road to The Oud & Wood Artisan Expo (OWA) Bersama Komoditi di The Curve, Mutiara Damansara, di sini pada Ahad.

Menurut Noraini, kementerian yakin sasaran eksport yang ditetapkan bagi tahun berikutnya mampu dicapai menerusi komitmen semua pihak berkepentingan.

Katanya, sokongan semua pihak termasuk media penting dalam mempromosikan produk tempatan yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.

"Apabila saya pergi dari satu reruai ke satu reruai, saya lihat standard produk memang boleh menandingi, malah ada yang mungkin lebih baik daripada minyak wangi yang dihasilkan di luar negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sektor kayu kini tidak lagi tertumpu kepada aktiviti pengeluaran dan pemprosesan kayu semata-mata, sebaliknya berkembang kepada penghasilan perabot, pintu, lantai, komponen binaan, kemasan dalaman serta pelbagai produk gaya hidup.

Katanya, gaharu yang dihasilkan daripada pokok karas turut menjadi antara komoditi bernilai tinggi berikutan aromanya yang unik serta digunakan dalam penghasilan minyak pati, wangian dan produk premium.

Lebih dua juta pokok karas kini ditanam di seluruh negara, sekali gus menyediakan asas kepada pembangunan industri gaharu yang lebih tersusun bermula daripada penanaman dan penghasilan resin sehingga pemprosesan, penghasilan produk dan pemasaran.

Beliau berkata potensi pasaran gaharu turut dapat dilihat menerusi eksport serpihan kayu gaharu yang mencecah hampir 95,000 kilogram dengan nilai kira-kira RM11.4 juta pada 2025.

"Kita tidak mahu berhenti sebagai pengeksport bahan mentah. Kita mahu bergerak daripada kayu kepada minyak pati, daripada minyak pati kepada wangian dan seterusnya kepada jenama premium yang membawa nama Malaysia," katanya.

Menurut beliau, peluang itu boleh diteroka menerusi penghasilan minyak gaharu, minyak wangi, produk penjagaan diri, kraf, cenderamata dan pelbagai produk gaya hidup yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Katanya, pembangunan industri gaharu dan kayu juga perlu mengambil kira aspek kelestarian sumber serta pematuhan terhadap standard antarabangsa.

Perdagangan gaharu yang tertakluk kepada peraturan di bawah Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES), katanya, perlu disertai dokumentasi dan permit yang sah, manakala pengusaha tanaman karas serta pemproses gaharu perlu berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Dalam pada itu, beliau berkata platform OWA berperanan mempertemukan pengusaha, artisan dan usahawan dengan rakan industri serta pasaran, sekali gus membuka ruang untuk produk dan jenama tempatan diperkenalkan dengan lebih meluas.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati seluruh rantaian industri, daripada penanam pokok karas dan penyuling sehingga artisan, pengeluar produk, pemilik jenama dan pengeksport.

"Kita mahu lebih ramai anak muda melihat industri gaharu, kayu dan kraf sebagai bidang yang mempunyai masa depan dengan menggabungkan kemahiran tradisional bersama teknologi, kreativiti dan idea baharu," katanya.

Must Watch Video

Advertisement