KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan warga kampus agar mengelakkan pembenturan kejahilan (clash of ignorance) dengan membudayakan amalan wacana beradab dan berfakta (lita'arafu).
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap perbahasan mahasiswa yang kadangkala terperangkap dalam sentimen kebencian kaum dan kepalsuan fakta.
"Bila dia jawab Huntington's Clash of Civilizations, dia jawab dengan rencana pendek sahaja... Dia sebut itu, sebenarnya bukan Clash of Civilizations. Kadang-kadang kita tengok clash dalam kalangan kita ni, dia bukan clash of civilizations of all ideas kata Edward Said, it's a clash of ignorance.
"Yang mengungkap pun belum sepenuhnya menguasai, yang menjawab pun tidak penuh menguasai. Jadi clash of ignorance, dia pertembungan atau pembenturan bukan idea tapi pembenturan kejahilan," jelas Anwar.
Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan dialog berasaskan persefahaman demi menyelamatkan generasi masa hadapan daripada fahaman sempit.
"Untuk masa depan negara ini, selamatkan negara ini harus ada satu ruang di mana ada dialog peradaban... untuk sama-sama memahami lita'arafu, itu peranan itu jelas lita'arafu, from understanding, from knowing one another not from hatred dan permusuhan," tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi soal jawab di Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini pada Rabu.
Menjawab cadangan peserta forum mengenai keperluan menubuhkan pusat negosiasi di kampus, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyatakan persetujuan kementerian untuk melaksanakannya.
"Pada dasarnya, saya bersetuju dengan pandangan itu. Kalau sekiranya universiti-universiti perlu wujudkan... Center for Negotiation, ini boleh dilaksanakan sama ada di salah satu center yang ada ataupun di peringkat Hal Ehwal Pelajar ataupun di pejabat Naib Canselor kerana urusan yang berkaitan dengan tentu pendidikan...
"... bagaimana kita nak menyentuh perbezaan pandangan secara beradab, menyampaikan pandangan dan sebagainya itu perlu dilatih," kata Zambry lagi.