KUCHING: Rakyat Sarawak, khususnya yang berhijrah untuk bekerja di bandar besar negeri ini dinasihatkan agar berhati-hati sebelum membeli tanah di kawasan tersebut dan mendapatkan pengesahan status pemilik tanah daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata mangsa penipuan pembelian lot tanah di negeri ini didapati 'membeli' tanah milik kerajaan secara tidak sah setelah tergoda dengan kemudahan rangkaian jalan raya yang terdapat di kawasan tersebut apatah lagi, harga yang ditawarkan murah berbanding harga pasaran.

"Boleh beli, tetapi tanya dulu siapa pemilik sebenar tanah kerana ia mungkin milik kerajaan dan penjual telah menipu kerana mereka yang berhijrah ke bandar besar untuk bekerja ada yang tidak tahu latar belakang tanah jadi mereka terkena (tipu)," katanya dalam sidang media selepas melawat tapak Projek Perumahan Penempatan Sungai Bedaun di sini, hari ini.

Beliau berkata ketua komuniti seperti ketua kampung dan penghulu perlu memainkan peranan dengan bekerjasama dengan pihak JTS untuk mengelakkan perkara sedemikian berlaku.

Katanya, perkara tersebut menyukarkan pihak JTS menjalankan kerja-kerja bagi pembinaan kemudahan, dengan kawasan dilaporkan bagi kes penipuan ini tertumpu di bandar seperti Kuching, Sibu dan Bintulu.

"Jadi kita nak kawal supaya rakyat tahu perkara ini dan jangan lah marah JTS...Saya berharap isu ini jangan dipolitikkan kerana ada yang mempolitikkan isu ini jadi rakyat perlu berhati-hatilah sebelum membeli mana-mana lot tanah," katanya.

Menurutnya, JTS akan mengambil tindakan yang lebih tegas kepada mereka yang menjalankan proses jual beli tanah secara haram.

-- BERNAMA