MIRI:Para pelawat tidak dibenarkan untuk masuk ke wad di Hospital Miri berkuat kuasa serta-merta ekoran peningkatan kes jangkitan tempatan COVID-19 di bahagian itu sejak kebelakangan ini.

Hospital Miri dalam kenyataan media berkata, seorang pesakit hanya dibenarkan dijaga oleh satu penjaga tetapi keberadaan penjaga tersebut di wad tertakluk kepada budi bicara pengurusan wad terlibat.

Jelas kenyataan itu lagi, setiap penjaga yang dibenarkan berada di wad dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak pengurusan wad dari semasa ke semasa.

"Keputusan ini diambil bagi melindungi pesakit-pesakit di wad dan para petugas kesihatan daripada risiko jangkitan yang dibawa dari luar," jelas kenyataan berkenaan pada Rabu.

Hospital Miri merupakan hospital hibrid yang berperanan menguruskan kes positif COVID-19 selain dalam masa sama menyampaikan perkhidmatan perubatan bagi kes klinikal biasa.

Selain itu, pihak pengurusan Hospital Miri merayu orang awam yang bergejala seperti demam, batuk, kesukaran bernafas, sakit tekak, selesema dan gejala lain serta tinggal di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak mengunjungi hospital berkenaan.

"Hospital Miri memohon orang ramai mengehadkan kunjungan ke Hospital Miri dan menyarankan agar norma baharu terus diamalkan bagi melindungi diri sendiri, keluarga dan komuniti.

"Kerjasama semua pihak pada masa ini adalah amat diperlukan dalam membantu memutuskan rantaian jangkitan pandemik," katanya.