KUALA LUMPUR: Elaun doktor lokum di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dibayar serta-merta dan dikekalkan pada kadar RM80 sejam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu sebelum ini sudah dikaji dan mendapat kelulusan daripada kerajaan.

“Kami telah memohon dan baru sahaja mendapat kelulusan untuk doktor lokum yang meletakkan jam lokum di fasiliti penjagaan kesihatan awam dibayar pada kadar RM80 sejam secara serta-merta.

‘’Ini merupakan berita baik yang saya nak sampaikan kepada pihak media,’’ katanya.

Tahun lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata bahawa pegawai perubatan yang diarahkan bertugas pada hari Sabtu dan cuti umum layak mendapat elaun lokum, manakala mereka yang bekerja dari 9 pagi hingga 1 tengah hari pada hari Ahad boleh memohon cuti gantian daripada ketua jabatan masing-masing.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KKM dan IHH Healthcare Malaysia, di sini, pada Jumaat.

MoU yang diperbaharui itu adalah bagi menyediakan penjagaan dan rawatan kepada 500 lagi pesakit kanser dari hospital KKM melalui rangkaian hospitalnya terdiri daripada Hospital Pantai, Hospital Gleneagles, dan Pusat Perubatan Prince Court.