KUCHING: Kementerian Kesihatan (KKM) telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi merangka mekanisme bagi pembangunan semula klinik-klinik kesihatan di Sarawak, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu, telah dimaklumkan kepada beliau dalam satu perbincangan tidak formal bersama Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, semalam.

Abang Johari berkata menerusi mekanisme ini, kerajaan Sarawak akan mengeluarkan peruntukan terlebih dahulu untuk membiayai kos pembangunan semula ini, bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.

"Kita sudah ada satu mekanisme pembayaran ganti dari kerajaan pusat. Kita ada jawatankuasa di peringkat pegawai yang akan mengendalikannya. Saya rasa hujung bulan ini kita akan mula (melaksanakannya)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 30 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sarawak sebagai kerajaan negeri pertama yang membiayai terlebih dahulu projek persekutuan di negeri itu, bagi mempercepat pelaksanaannya.

Beliau berkata di bawah kaedah itu kerajaan Persekutuan akan membayar balik kemudian kepada kerajaan Sarawak, jumlah kos bagi penyiapan projek-projek berkenaan.

Anwar berkata kaedah itu juga dipersetujui kerana kerajaan Sarawak dapat memulakan projek berkenaan dengan lebih cepat dan pada kos lebih rendah.

-- BERNAMA