BATU PAHAT: Elaun petugas masjid di negeri ini yang kini dalam proses kajian penambahbaikan dijangka akan dilaksanakan bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata di Johor terdapat 1,463 orang imam yang elaunnya dibayar oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala 3,113 imam dibayar kerajaan negeri.

Beliau berkata buat masa ini jumlah elaun yang diberikan adalah sebanyak RM850 kepada imam, RM100 kepada bilal serta RM80 kepada noja.

"Bagaimanapun, pihak kerajaan negeri juga ada memberikan bantuan sekali bayar sebanyak RM500 kepada petugas masjid berkenaan pada 2023 dan 2024 bagi menghargai mereka.

"Pada masa ini, kerajaan negeri masih belum dapat menetapkan kadar baharu pembayaran elaun khususnya kepada bilal dan noja yang masih dalam kajian," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Jelas Mohd Fared, selain itu semua petugas masjid dalam Negeri Johor juga dicarum insurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula tahun lepas.

Tambahnya, kerajaan negeri juga membenarkan jawatankuasa masjid memberikan elaun tambahan kepada petugas masjid mengikut kemampuan tabung semasa setiap masjid.

"Sama-sama kita berdoa agar hasrat kerajaan untuk menambah baik elaun petugas masjid ini dapat direalisasikan pada tahun hadapan," katanya.

Pada 1 Jan lepas, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Datuk Dr Nooh Gadut menyarankan jawatan imam secara tetap (tidak berpencen) atau kontrak diwujudkan bagi masjid kariah berkapasiti besar.

Melalui saranan itu, selain dapat menyanjungi kedudukan golongan berkenaan dalam kalangan umat Islam, ia juga ia akan menyelesaikan isu gaji minimum RM1,500 yang berlaku dalam kalangan imam.

-- BERNAMA