KUALA LUMPUR: Sebagai usaha menggapai pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik, kerajaan memperuntukkan RM72 juta tahun hadapan bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium dan pelaksanaan inisiatif Road to Gold (RTG).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM20 juta diperuntuk di bawah inisiatif RTG sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

"Kita meraikan kejayaan wira-wira tanah air yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Asia Hangzhou dengan menggenggam 32 pingat.

"Sukan ialah medan penting membina keakraban rakyat Malaysia. Walau berbeza kaum dan agama, kebhinekaan kita tidak sedikitpun memadam kemarakan semangat kesukanan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat semalam.

Bagi memperkasa ekosistem atlet para, beliau berkata sebanyak RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

"Saya pasti semua telah menyaksikan kisah inspirasi adik Aqil Naufal, pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Lepar Utara 1, Pahang yang mempamerkan semangat kesukanan walau dalam kekurangan.

"Impian adik Aqil untuk bermain bola boleh tercapai setelah mendapat bantuan kerajaan dan dorongan daripada Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA)," katanya.

Anwar berkata sejumlah RM50 juta disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.

Beliau berkata kerajaan akan terus menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta kerana sambutan tahun ini amat menggalakkan.

"Esok (Sabtu) adalah Hari Sukan Negara. Kerajaan akan terus memperbanyak program sukan dan riadah untuk rakyat termasuklah program kemahiran sukan renang untuk kanak-kanak, Orang Kurang Upaya dan warga emas daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Penganjuran aktiviti sukan dan riadah untuk membentuk warga emas yang aktif dan cerdas juga diperbanyak," katanya.

Program perkhemahan keluarga dengan merakyatkan kemudahan Kementerian Belia dan Sukan untuk tujuan perkhemahan dengan kadar minimum di enam Kem Wawasan negara seperti di Ulu Sepri, Rembau di Negeri Sembilan dan Ulu Kenas, Kuala Kangsar di Perak juga akan dilaksana, katanya.

Anwar berkata kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 dan pelepasan ini juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

-- BERNAMA