KUALA LUMPUR: Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekeluarga serta seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya.

Ucapan itu disampaikan menerusi perbualan telefon antara beliau dengan Dr Mahathir pada Rabu, sehari sebelum Hari Raya.

Dalam perbualan yang dikongsikan di Twitter rasmi Dr Mahathir, mereka berdua turut menyentuh isu mengenai serangan yang berlaku di Palestin.

“Saya telah berbual melalui panggilan telefon dengan Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, Emir Qatar. Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepadanya.

“Sebagai balasan, dia mengucapkan Selamat Hari Raya kepada saya sekeluarga serta seluruh rakyat Malaysia.

“Kami sempat membincangkan beberapa isu mengenai perihal umat Islam. Kami berdua sangat terkesan dengan apa yang berlaku di Al Aqsa dan Palestin.

“Keganasan yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin adalah kejam dan terang-terangan mengabaikan hak asasi dan kemanusiaan,” jelas perkongsian itu.

Dr Mahathir sebelum ini telah menerima pengiktirafan Doha Forum Award pertama semasa Anugerah Forum Doha yang disampaikan oleh Sheikh Tamim pada 14 Disember 2019.