NATIONAL
Empat individu rentas sempadan secara haram ditahan PGA

Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek merupakan lelaki tempatan berumur 30 tahun manakala tiga lagi termasuk dua wanita ialah warganegara Thailand berumur 20-an dipercayai memasuki negara ini tanpa dokumen sah.
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Senoi Praaq menahan empat individu yang dipercayai memasuki Malaysia secara tidak sah melalui pangkalan haram Tok Awang Belulang dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada Isnin lepas.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam operasi pada 3.15 petang itu, anggota PGA yang melakukan rondaan telah mengesan kumpulan terbabit, namun pemandu bot bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum meninggalkan penumpangnya di tebing sungai.
"Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek merupakan lelaki tempatan berumur 30 tahun manakala tiga lagi termasuk dua wanita ialah warganegara Thailand berumur 20-an dipercayai memasuki negara ini tanpa dokumen sah.
"Lelaki tempatan itu ditahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, sementara tiga warga Thailand berkenaan ditahan di bawah Seksyen 6(1) akta yang sama sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.Nik Ros Azhan berkata, dua lelaki yang ditahan itu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan awal dilakukan terhadap mereka.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami