Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKKDSMN) dalam mesyuarat pertamanya hari ini bersetuju mewujudkan empat kluster sebagai strategi untuk meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan makanan dengan mengoptimumkan sumber sedia ada.

Mesyuarat JKKDSMN yang ditubuhkan susulan impak pandemik COVID-19 dan bertanggungjawab meneliti isu berkaitan sekuriti makanan secara menyeluruh meliputi aspek rantaian bekalan, tenaga kerja, aplikasi teknologi, sumber kewangan, pelaburan, guna tanah dan infrastruktur itu, dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Perdana Putra di sini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang dikeluarkan bersempena mesyuarat itu, penubuhan empat kluster di bawah tiga kementerian dan satu agensi tersebut adalah hasil persetujuan mesyuarat memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara yang disarankan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Kluster tersebut ialah Kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; dan Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dua lagi kluster ialah Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan; serta Kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Keselamatan Negara.

"Keempat-empat kluster berkenaan akan berfungsi mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan dan pelaksanaan strategi yang telah dikenal pasti," kata PMO.

PMO berkata sebanyak lima kertas kerja merangkumi strategi untuk memperkukuh sektor agromakanan negara berlandaskan peningkatan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dan pengurangan kebergantungan kepada import, dibincangkan pada mesyuarat itu.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh 11 ahli tetap iaitu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ahli lain ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi; serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusoff; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus merupakan ahli jemputan.

PMO berkata jawatankuasa itu dibantu oleh Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Kiandee yang menyelaras cadangan bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara serta mengawal selia pelaksanaan keputusan dan arahan jawatankuasa kabinet tersebut.

"Jawatankuasa kabinet ini diharapkan dapat memantapkan tadbir urus sekuriti makanan negara dan mentransformasikan sektor agromakanan ke tahap yang lebih baik, sekali gus memastikan bekalan makanan terjamin," kata PMO.

--BERNAMA