ISKANDAR PUTERI: Polis memberkas enam lelaki dan merampas 2,800 liter diesel bersubsidi selepas menahan empat buah lori di sebuah stesen minyak di Taman GP Prima, Gelang Patah di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, semua suspek itu merupakan warga tempatan berusia 34 hingga 52 tahun yang ditahan kira-kira jam 2 pagi.

"Pemeriksaan mendapati mereka membawa diesel bersubsidi tanpa dokumen yang sah. Susulan itu kita merampas empat buah lori pelbagai jenama yang digunakan membawa diesel bersubsidi itu.

"Empat lori berkenaan membawa 10 buah tangki diisikan dengan diesel bersubsidi sebanyak 2,800 liter. Nilai rampasan dianggarkan berharga RM138,000," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. - Sinar Harian