Empat maut manakala enam lagi cedera dalam dua kemalangan yang berlaku selang sembilan minit di Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban, dekat sini awal pagi tadi, dipercayai akibat merempit.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata dalam nahas pertama kira-kira 2.20 pagi di Km 302 ke arah ibu negara, dua penunggang motosikal berlanggar sesama sendiri sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan, menyebabkan mereka maut di tempat kejadian.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila seorang penunggang motosikal itu menghimpit sebuah lagi motosikal dari arah kiri, katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mayat mangsa yang kedua-duanya lelaki berusia 16 dan 26 tahun itu dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Ahmad Dzaffir berkata nahas kedua berlaku pada 2.29 pagi di Km 301.5 menghala ibu negara, melibatkan tujuh motosikal dan sebuah kereta yang meragut dua nyawa penunggang dan mencederakan enam lagi.

Katanya kejadian berlaku apabila sebuah motosikal jenis Yahama 135LC merempuh bahagian belakang sisi kanan kereta Perodua Axia dan mengakibatkan pemandunya hilang kawalan.

"Akibat rempuhan itu kereta berkenaan berpusing dan dirempuh oleh enam lagi penunggang motosikal yang tidak sempat mengelak," katanya

Penunggang motosikal yang merempuh kereta berkenaan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Serdang, di sini.

Lima penunggang lain mengalami cedera parah manakala pemandu kereta itu pula cedera di bahagian leher dan kesemua mereka menerima rawatan lanjut di Hospital Serdang, katanya.

-- BERNAMA