Empat daripada 77 pendatang asing yang ditahan dalam Op Benteng ketika cuba menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Klang pada 14 Sept lepas disyaki positif COVID-19 selepas menjalani saringan awal.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata kesemua pendatang asing yang ditahan itu telah ditempatkan di lokap Balai Polis Pandamaran Klang dekat sini selepas menjalani saringan awal COVID-19.

"Hasil ujian saringan awal berkenaan mendapati empat pendatang asing dipercayai positif COVID-19 dan mereka kemudian telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani saringan kali kedua.

Mereka yang didapati positif melibatkan tiga orang lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 47 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bernama pada Selasa lepas melaporkan 77 pendatang asing warga Indonesia termasuk seorang tekong dan tiga kru bot ditahan di perairan Pulau Ketam ketika cuba menyusup masuk ke negara ini.

Kesemua pendatang asing terbabit yang berusia satu sehingga 58 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Indonesia ke sekitar perairan Klang.

-- BERNAMA