Empat penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan di daerah ini dalam tempoh kira-kira 10 jam dari 9.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Saifi Abdul Hamid berkata dalam kejadian pertama yang berlaku di Jalan Lencongan Timur berhampiran Bukit Bintang pada 9.45 malam tadi, dua penunggang maut selepas motosikal masing-masing terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi ASX.

"Kesemua kenderaan dari arah Bukit Banyan menuju Bandar Sri Astana, berada di lorong kiri, sebelum MPV terbabit melanggar belakang Modenas Kriss menyebabkan motosikal itu hilang kawalan dan melanggar motosikal Yamaha di hadapannya.

"Penunggang Modenas Kriss, warga Vietnam yang belum dikenal pasti identitinya, terpelanting ke dalam longkang manakala pekerja kilang yang menunggang Yamaha, Mohammad Ridzuan Zambri, 18, diseret MPV tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifi berkata kedua-dua lelaki itu maut di tempat kejadian, bagaimanapun pemandu MPV berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata kemalangan kedua berlaku di Jalan Lencongan Timur berhampiran Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada 4.10 pagi tadi melibatkan motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 125Z.

"Penunggang Yamaha, Muhammad Zamir Eizlan Mohd Joned, 19, yang cedera di kepala, maut di tempat kejadian manakala penunggang Honda, Najmi Nazri, 18, cedera pada bahagian belakang badan," katanya.

Saifi berkata kejadian ketiga pula, penunggang motosikal Mohd Sahrolnizam Romle, 21, yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya maut di tempat kejadian setelah motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di Jalan Bukit Kuang di Gurun dekat sini pada 8.05 pagi ini.

Katanya mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

-- BERNAMA