Empat remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) pada 14 Januari lalu.

Keempat-empat tertuduh, Muhammad Faiz Ramli, 24 , Muhammad Nabil Darwis,18, Mohd Shofian Abd Manaf, 20 dan seorang pelajar berusia 17 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Abdul Wahab.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat hari ke atas Muhammad Faiz Ramli dan didenda RM5,500 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menunggang dengan gaya meniarap di atas tempat duduk motosikalnya di BORR pada jam 2.25 pagi 14 Januari lalu.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, tiga lagi remaja termasuk seorang pelajar berusia 17 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya di BORR pada tarikh dan masa yang sama.

Tertuduh kedua, Muhammad Nabil Darwis, 18, dibenarkan ikat jamin RM3,000 dan hakim menetapkan 2 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan sosial tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh ketiga dan keempat, Mohd Shofian Abd Manaf, 20 dan pelajar tingkatan lima mengaku bersalah atas pertuduhan mereka sebelum mahkamah menetapkan ikat jamin masing masing sebanyak RM2,000 dan RM1,000.

Muhammad Firdaus kemudian menetapkan 1 dan 2 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes membabitkan Muhammad Nabil dan Mohd Shofian.

Tarikh sebutan semula pelajar berusia 17 tahun ditetapkan pada 22 Februari ini sementara menunggu laporan sosial daripada JKM.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shafina Mohd Radzuan.