KULAI: Seorang wanita dan tiga rakan lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang rakan lelaki mereka dalam kejadian pergaduhan di sebuah rumah di Taman Tan Yoke Fong, di sini, minggu lepas.

Bernama melaporkan, Mohd Hafize Mohamad Kassim, 36, Awalludin Abdul Hamid, 54, Tan Wei Cong, 25, dan Noorhaszieda Hasan, 32, kesemuanya penganggur mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa dengan niat bersama telah menyebabkan kematian Nosaisain Muhamad, 46, di sebuah rumah di G-30, Jalan Tan Yoke Fong 25, Taman Tan Yoke Fong, antara 7 pagi dan 9.45 malam, 16 Ogos lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 5 Okt untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, mangsa adalah rakan kepada semua tertuduh.