Suruhanjaya Tinggi Bangladesh hari ini mengesahkan antara mangsa nahas bas di Genting Highlands semalam ialah empat sekeluarga warganegara itu, dengan bapa dilaporkan maut.

Kaunselornya S.M. Anisul Haque berkata tiga lagi anggota keluarga itu - ibu dan dua anak lelakinya sedang dirawat di Hospital Selayang dan dilaporkan stabil walaupun patah tangan, kaki dan belakang.

Semasa dihubungi Bernama hari ini, beliau berkata seorang lagi anak lelaki keluarga itu dan saudara mara mereka dijangka tiba di Kuala Lumpur hari ini dan mereka merancang untuk memindahkan keluarga yang cedera ke Hospital Gleneagles di sini, sekiranya boleh.

Menurut senarai dikeluarkan polis hari ini, Rashidah Buyah, 50, dan dua anak lelakinya Rezyan, 24, dan Raawlok, 14, antara 16 orang yang cedera dalam kemalangan itu.

Bas itu terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter semalam semasa menuruni jalan curam di Km3.5 Jalan Genting Highlands, meragut nyawa 37 orang termasuk pemandunya, yang merupakan nahas bas terburuk di negara ini.

S.M. Anisul berkata sebaik sahaja keadaan mereka semakin stabil, keluarga itu merancang untuk membawa mereka pulang ke Dhaka, Bangladesh.

Sementara itu, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia memaklumkan bahawa mereka masih belum mengetahui sama ada warganegaranya turut maut dalam kemalangan itu.

Kaunselor Perhubungannya Dino Nurwahyudin berkata ini kerana, proses bedah siasat mangsa masih dijalankan oleh pasukan forensik Malaysia.

Beliau berkata setakat ini, tiga daripada 16 penumpang yang cedera dalam nahas itu adalah warganegaranya dan sedang dirawat di Hospital Bentong dan Hospital Selayang.

"Kami (Kedutaan Indonesia) sudah mengunjungi semua mangsa yang cedera dan salah seorang dari mereka yang dirawat di Hospital Bentong sudah boleh keluar," katanya ketika dihubungi.

Dino berkata selepas jumlah kematian warganegaranya dikenal pasti, jika ada, pihak kedutaan akan menghubungi dan memanggil anggota keluarga untuk proses mengecam mayat.

"Sekiranya anggota keluarga mahu mangsa dikebumikan di Indonesia, pihak kedutaan akan membantu proses penghantaran jenazah," katanya.