Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Empat spesies pepatung, mamalia kecil ditemukan di Hutan Simpan Pasir Panjang Port Dickson

PORT DICKSON, 14 Ogos -- Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh (tengah) melihat spesis serangga yang dipamerkan sempena majlis penutup Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Pasir Panjang di PD Forest Sungai Menyala, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Syed Ibrahim (tengah) melihat spesis serangga yang dipamerkan sempena majlis penutup Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Pasir Panjang di PD Forest Sungai Menyala, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

PORT DICKSON: Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Pasir Panjang di sini merekodkan empat spesies pepatung selain lapan spesies lalat buah yang turut menjadi rekod pertama di Negeri Sembilan.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Profesor Madya Dr Amiruddin Ahmad merangkap ketua ekspedisi berkata empat spesies pepatung tersebut ialah Pornothemis serrata, Onychargia atrocyana, Pseudagrion williamsoni dan Teinobasis ruficollis.

Beliau berkata ekspedisi lima hari anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri (JPN), Negeri Sembilan turut menemukan lapan spesies lalat buah termasuk tiga daripadanya berkepentingan ekonomi di Semenanjung Malaysia.

“Pasukan penyelidik turut menemukan enam spesies tumbuhan berstatus endemik termasuk Santaloides rugosa dan Syzygium subdecussatum, tiga spesies burung iaitu Green Iora (Aegithina viridissima), Grey-bellied Bulbul (Rubigula cyaniventris), Lesser adjutant (Leptoptilos javanicus) dan spesies mamalia kecil Black giant squirrel (Ratufa bicolor) berstatus hampir terancam.

“Turut ditemukan spesies mamalia kecil iaitu Sunda slow loris (Nycticebus coucang) dan Long-tailed macaque (Macaca fascicularis) dan satu spesies kura-kura Spiny hill turtle (Heosemys spinosa) berstatus terancam,” katanya pada penggulungan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Pasir Panjang di sini. 

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Radhi Chu Abdullah serta Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan Mohd Yussainy Md Yusop.

Amiruddin berkata sebanyak 37 saintis dan penyelidik daripada pelbagai agensi kerajaan, institut penyelidikan, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai ekspedisi itu.

Amiruddin berkata sebanyak 37 saintis dan penyelidik daripada pelbagai agensi kerajaan, institut penyelidikan, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai ekspedisi itu.

Beliau berkata penemuan ekspedisi itu penting dalam menyumbang kepada pengukuhan data saintifik dan membantu pengurusan, pemeliharaan serta pembangunan sumber biodiversiti Hutan Simpan Pasir Panjang secara lestari.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata ekspedisi siri ke-53 JPSM dan siri kelima di Negeri Sembilan itu bertujuan meneroka, mendokumentasi dan menilai kepelbagaian biodiversiti serta sumber semula jadi melalui kajian dalam bidang flora dan fauna, geologi, ekopelancongan serta sosioekonomi. 

Beliau berkata Hutan Simpan Pasir Panjang yang diwartakan pada 1911 berkeluasan 155.60 hektar ialah ekosistem hutan tanah pamah dan pesisiran pantai kaya dengan biodiversiti.

“Kerajaan Persekutuan turut menyediakan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta biodiversiti,” katanya.

Beliau berkata Negeri Sembilan menerima RM54.96 juta melalui EFT dari 2019 hingga tahun ini bagi tujuan tersebut.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement