MALAYSIA
Empat termasuk suami isteri ditahan bersama MDMA bernilai RM1.1 juta di Pulau Pinang

Keempat-empat suspek kini direman lima hari hingga 27 Sept ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Foto hiasan
GEORGE TOWN: Polis menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri dan merampas 7,130,40 gram (g) dadah jenis metilena dioksiamfetamina (MDMA) bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di sini yang bermula dari Isnin hingga semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menyerbu empat lokasi di sekitar George Town dari 9 malam pada Isnin hingga 9 pagi semalam sebelum menahan tiga lelaki dan seorang wanita.
"Susulan penahanan empat warga tempatan berusia berusia 30 hingga 33 tahun itu, polis berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah dan stor proses serta pembungkusan dadah jenis MDMA oleh sindiket tersebut.
"Dalam siri serbuan termasuk di sebuah kondominium yang dijadikan stor menyimpan dadah itu, polis merampas enam paket plastik hitam mengandungi MDMA seberat 69.4g, tiga beg plastik (2,901g) dan tiga botol MDMA seberat 4,160g," menurutnya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket didalangi pasangan suami isteri yang merupakan peniaga itu mendapat bekalan MDMA daripada rangkaian sindiket sebelum membungkusnya semula dan mengedarkan untuk pasaran di pusat hiburan di Pulau Pinang.
Azizee memaklumkan siasatan juga mendapati sindiket itu bergerak aktif menjalankan kegiatan pembungkusan dan pengedaran MDMA sejak awal tahun ini, serta dipercayai hidup mewah hasil jenayah tersebut.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah itu dan MDMA yang dirampas boleh digunakan oleh 50,000 penagih dadah.
"Ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka positif, dan semakan juga mendapati tiga lelaki yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah," katanya.
Polis turut menyita lima kenderaan antaranya Lexus, Perodua Myvi, Toyota Altis dan sebuah motosikal serta barangan kemas yang kesemuanya bernilai RM417,325.
Keempat-empat suspek kini direman lima hari hingga 27 Sept ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami