Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengisytiharkan peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan terhadap tiga golongan transgender sebagai tidak berperlembagaan bukan bermakna enakmen yang sama di negeri-negeri lain terbatal, kata pengamal undang-undang Syahredzan Johan.

Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini memberi peluang kepada golongan transgender yang dihukum mengikut enakmen sama untuk mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Sivil.

"Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini bukan bermakna undang-undang yang sama di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan juga tidak sah dan batal.

"Cuma keputusan hari ini boleh dijadikan dahuluan (precedent) jika ada mana-mana golongan transgender yang dikenakan hukuman oleh mahkamah syariah untuk mencabarnya di mahkamah sivil," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Hari ini, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang memperuntukkan hukuman ke atas lelaki Islam berpakaian wanita bercanggah dengan perlembagaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus berkata enakmen tersebut melanggar Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Seksyen 66, mereka boleh dihukum penjara maksimum enam bulan penjara dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Syariah.

Pada 2 Februari 2012, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, memfailkan kes berkenaan untuk mencabar peruntukan terbabit.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Seremban yang menolak permohonan tiga individu berkenaan memutuskan bahawa agar hak tersebut diketepikan kerana mereka dilahirkan sebagai lelaki Islam dan perlu mengikut undang-undang dan ajaran agama.

Selain Mohd Hishamuddin, panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan hari ini turut dianggotai Hakim Datuk Aziah Ali dan Hakim Datuk Lim Yee Lan.