Kerajaan Negeri Sembilan berpuas hati apabila berjaya mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah Enakmen Jenayah Syariah negeri yang menghukum lelaki Islam berpakaian wanita.

"Maksudnya kes yang kami (kerajaan negeri) rayu ada merit kalau tidak semestinya ia (Mahkamah Persekutuan) telah ditolak awal-awal," kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membenarkan kerajaan Negeri Sembilan dan empat yang lain membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Pada 7 Nov tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan tiga jurumekap Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30; untuk mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan (Negeri Sembilan) 1992, sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, ketika ditanya hasrat Johor Corporation (JCorp) untuk mengambil alih ladang satelit tinggalan Pusat Fidlot Nasional (NFC) di negeri ini, Mohamad berkata kerajaan negeri telah merampas tanah milik kerajaan negeri itu dan bercadang mengusahakan sendiri ladang satelit dengan kerjasama syarikat yang akan dikenal pasti.