Enam pelanggan bank muntah, pening dan sesak nafas

Enam pelanggan sebuah bank di Sungai Bakap, Nibong Tebal mengalami pening, muntah dan sesak nafas selepas terhidu semburan racun serangga dalam kejadian di premis tersebut pada Sabtu.

Maklumat daripada kakitangan bank itu mengesahkan bahawa premis terbabit dalam proses mencegah serangga perosak dan sudah disembur dengan bahan pembasmi anai-anai. - Foto ihsan JBPM | Astro Awani
Enam pelanggan sebuah bank di Sungai Bakap, Nibong Tebal mengalami pening, muntah dan sesak nafas selepas terhidu semburan racun serangga dalam kejadian di premis tersebut pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafee Abd Samad berkata dalam kejadian 12:30 tengah hari itu, kesemua mangsa datang ke bank untuk membuat pengeluaran wang di mesin pengeluaran automatik (ATM) sebelum terhidu sesuatu yang berbau busuk.

Ekoran kejadian itu, lima daripadanya terpaksa dibawa ke Hospital Sungai Bakap manakala seorang lagi mangsa dirawat kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

Bagaimanapun hasil siasatan mendapati punca kejadian dipercayai akibat semburan racun serangga oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak bank.

Maklumat daripada kakitangan bank itu mengesahkan bahawa premis terbabit dalam proses mencegah serangga perosak dan sudah disembur dengan bahan pembasmi anai-anai.

Shafee berkata, Unit Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membuat pemeriksaan di tempat kejadian dan mengesahkan tiada sebarang kebocoran gas dan hanya diakibatkan oleh semburan racun serangga.

Terdahulu, Jentera dan kenderaan utiliti bomba bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sunga Bakap dan Perai diketuai Ketua Operasi JBPM Seberang Perai Selatan Mohd Najib Hashim bergegas ke premis berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.06 tengah hari selepas dimaklumkan berlaku kebocoran bahan kimia di premis bank berkenaan.