Skip to main content

Malaysia

Enam remaja ditahan kes serangan bersenjata cederakan dua individu

81749657109_TBPOLISPDRM.jpg
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata kesemua suspek berusia antara 17 dan 18 tahun itu ditahan di kawasan Alor Akar dan Bukit Setongkol di sini, sehari selepas kejadian. - Foto hiasan
Advertisement

KUANTAN: Enam remaja lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian serangan bersenjata yang menyebabkan dua individu cedera parah berhampiran sebuah premis perniagaan di Jalan Air Putih di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata kesemua suspek berusia antara 17 dan 18 tahun itu ditahan di kawasan Alor Akar dan Bukit Setongkol di sini, sehari selepas kejadian.

Beliau berkata pihaknya sebelum itu menerima laporan berhubung kejadian dua lelaki dipercayai diserang sekumpulan lelaki menggunakan kayu dan batang besi kira-kira 2 pagi.

“Akibat kejadian itu, mangsa berusia 17 tahun mengalami kecederaan di belakang kepala, lengan kiri, belakang badan dan bahu kanan, manakala seorang lagi lelaki berusia 19 tahun mengalami patah tangan kanan serta luka di bahagian dahi sehingga memerlukan pembedahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada ugutan oleh salah seorang individu untuk membakar sebuah kelab sukan, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement