Berang kerana enggan rujuk semula, seorang lelaki tergamak menikam bekas isterinya sehingga mati.

Kejadian berlaku di sebuah bilik sewa berhampiran bangunan Segama, Kota Kinabalu kira-kira jam 2.20 petang Selasa.

Mangsa, Rina Amat, 37, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada jam 3.27 petang selepas cedera parah akibat ditikam di bahagian dada dan pergelangan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya berjaya memberkas suspek berusia 37 tahun di lokasi kejadian.

"Sejurus menerima maklumat orang awam sekitar jam 2.20 petang tadi, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk pemeriksaan.

"Suspek berjaya diberkas, manakala bekas isterinya yang parah dikejarkan ke HQE untuk rawatan dan disahkan telah meninggal dunia jam 3.27 petang," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menemui mangsa di bilik sewanya di kawasan bangunan Segama itu untuk merujuk kembali hubungan mereka.

"Berdasarkan maklumat awal, ketika kejadian mangsa enggan menurut permintaan bekas suaminya lalu berlaku pergaduhan.

"Suspek juga bertindak menikam bekas isterinya di bahagian dada dan pergelangan tangan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.