KUALA LUMPUR:Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) telah melancarkan logo syarikat yang baharu, ia menandakan penyertaan Proton sebagai salah satu jenama di bawah naungan mereka.

"EON kini mengendalikan sembilan pusat pengedaran Proton selepas mengambil alih cawangan-cawangan tersebut dari Proton Edar Sdn. Bhd.

"Ini merupakan penjenamaan semula kali ketiga EON, ia ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai pengedar eksklusif kereta Proton di Malaysia," kata EON dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

EON berkata pada tahun 1990, perubahan kecil pada logo dibuat sempena penyenaraian mereka di Bursa Malaysia, EON kemudiannya telah dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula syarikat.

Selain itu, EON juga telah mengumumkan permulaan perniagaan pengedaran Proton. EON kini memiliki sembilan pusat pengedar Proton, termasuk empat pusat 4S (penjualan, servis, alat ganti, badan dan cat) dan tiga cawangan 3S (jualan, servis, alat ganti).

Empat cawangan itu berada di wilayah tengah, manakala dua cawangan, masing-masing di Johor dan Pulau Pinang.

EON berkata berkuat kuasa semalam, kesemua sembilan cawangan di bawah ini akan berada di bawah pengurusan EON.

"Ketika Proton kembali kukuh dengan model terbaharu serta rangkaian model-model berwajah baharu (facelift) mereka, EON kini berada pada kedudukan terbaik untuk mengambil kesempatan daripada populariti kereta nasional pada masa ini," katanya.

EON berkata kemasukan Proton kepada barisan jenama yang diuruskan EON memperkukuhkan senarai jenama-jenama yang diuruskan oleh oleh mereka, ketika ini, ia turut mengedarkan jenama tersohor Jerman iaitu Audi dan Volkswagen serta kenderaan Mitsubishi dari Jepun.

-- BERNAMA