Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan melaksanakan kajian populasi masyarakat Palauh fasa ke-4 di daerah Kunak selama dua hari, bermula hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Keurusetiaan Esscom, Harun Maddasa berkata kajian kali ini akan memberi tumpuan di tiga kawasan penempatan masyarakat Palauh iaitu Kampung Kunak 3, Kampung Jeti/Pangkalan dan Pulau Malundangan yang jaraknya kira-kira 30 minit perjalanan dari bandar Kunak.

Beliau berkata kajian ini antara lain bertujuan melengkapkan data dan maklumat mengenai taburan dan demografi masyarakat Palauh di sekitar daerah Kunak termasuk mereka yang berstatus warganegara dan bukan warganegara.

“Kajian ini penting kepada Esscom dalam usaha melengkapkan data dan maklumat yang telah dikutip hasil daripada beberapa siri kajian masyarakat ini yang telah dilaksanakan Esscom di daerah Semporna yang telah memasuki fasa ke-3.

“Maklumat yang diperoleh daripada kajian ini akan digunakan kerajaan dalam merangka pelbagai pendekatan dan mekanisme yang bersifat holistik bagi mewujudkan satu pelan tindakan yang boleh membantu membangunkan masyarakat ini untuk keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyampaikan taklimat kepada pembanci di sini, pada Khamis.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Tindakan Awam Esscom Aziz Marinsah, Penolong Pengarah Jabatan Perangkaan Tawau Mahdir Bahar dan Pengerusi NGO Palauh Kunak, Simah Datuk Zainal.

Harun juga meminta penduduk di sekitar daerah Kunak agar bertenang dan tidak panik apabila didatangi pembanci yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pasukan keselamatan kerana ianya tidak melibatkan operasi penangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Saya berharap masyarakat sekitar daerah Kunak memberi kerjasama kepada pembanci yang telah dilantik Esscom untuk mendapatkan satu keputusan kajian yang tepat dan menyeluruh”, katanya.

Beliau berkata, sebelum ini Esscom dengan kerjasama pelbagai agensi negeri dan persekutuan termasuk Jabatan Perangkaan dan pejabat daerah telah melancarkan tiga siri kajian populasi Palauh di Semporna.

Ia memberi tumpuan di kawasan penempatan utama masyarakat itu di sekitar Pulau Omadal, Kulapuan, Labuan Haji, Bangau-Bangau, Halo, Nusa Tiga dan Sibangkat.