Skip to main content

Malaysia

‘Everyone Matters’: Titah Sultan Nazrin jadi cerminan Malaysia yang lebih inklusif

Sumber: Astro AWANI
Titah Sultan Nazrin Shah (tengah) pada Persidangan Dunia Ke-8 Pemikiran dan Tamadun Islam di Ipoh, pada Selasa, meninggalkan kesan mendalam kepada Asyraf (dua dari kanan).
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dalam dunia yang sering mengukur kejayaan menerusi angka, pencapaian dan kemewahan, titah sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada Persidangan Dunia Ke-8 Pemikiran dan Tamadun Islam di Ipoh, pada Selasa, membawa satu mesej yang lebih mendasar - bahawa setiap insan mempunyai nilai dan maruah yang tidak boleh diketepikan.

Mesej itu meninggalkan kesan mendalam kepada usahawan dan ahli strategi komunikasi, Asyraf Khalid, yang menghadiri persidangan berkenaan bersama barisan kepimpinan Larenme pada Selasa.

Menurut Asyraf, antara pengajaran paling besar yang dibawa pulang daripada titah Sultan Perak ialah pemahaman sebenar mengenai makna kebanggaan sesebuah masyarakat, yang menurut baginda bukan lahir daripada keupayaan mengatasi orang lain, tetapi daripada kesanggupan menjaga setiap anggota komuniti tanpa pengecualian.

Bertemakan “Everyone Matters: Pride and Unity in Islam”, Sultan Nazrin menegaskan, maruah manusia tidak boleh dibahagikan mengikut status, latar belakang atau kedudukan. 

Sebaliknya, kekuatan sesebuah negara diukur melalui layanan yang diberikan kepada golongan paling lemah dalam masyarakat.

Baginda turut mengemukakan satu pertanyaan yang disifatkan Asyraf sebagai amat berkesan untuk dijadikan panduan dalam setiap dasar dan keputusan yang dibuat: adakah sesuatu tindakan itu merangkumi semua pihak atau sebaliknya menyisihkan sebahagian daripada mereka?

Bagi Asyraf, persoalan tersebut mempunyai kaitan langsung dengan aspirasi yang diperjuangkannya selama ini untuk melihat rakyat Malaysia lebih yakin akan kemampuan diri dan potensi negara.

"Saya mahu rakyat Malaysia percaya bahawa mereka bertaraf dunia. Namun keyakinan sebesar itu tidak mungkin dapat dibina jika masih ada individu yang merasakan diri mereka tidak penting atau tidak diberi tempat.

"Titah Tuanku mengingatkan kita bahawa kemajuan sebenar hanya dapat dicapai apabila tiada siapa yang tertinggal," katanya.

Beliau berpandangan, semangat “everyone matters” tidak seharusnya berakhir sebagai tema persidangan atau slogan yang indah didengar, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam cara masyarakat membina naratif, merangka dasar dan memperkukuh keyakinan rakyat.

Persidangan dua hari anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (Universiti Azlaniah) itu menghimpunkan tokoh akademik, pemimpin dan cendekiawan dari dalam dan luar negara untuk membincangkan isu berkaitan tadbir urus, pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan awam serta integriti dan keselamatan negara.

Dalam suasana dunia yang semakin berdepan cabaran perpecahan dan ketidaksamaan, mesej yang diketengahkan Sultan Nazrin dilihat sebagai peringatan bahawa kemajuan yang sebenar bukan sekadar membina negara yang kuat, tetapi membina masyarakat yang menghargai setiap insan sebagai sebahagian daripada kekuatan itu.

Must Watch Video

Advertisement