JOHOR BAHRU: Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menafikan ada mengeluarkan surat sokongan supaya memudahkan urusan kerajaan yang melibatkan bapanya, Mad Shah Alus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata, perbuatan tersebut dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan reputasinya sebagai Exco kerajaan negeri.

"Hari ini saya ditanya oleh ramai rakan media mengenai satu salinan surat yang tular dan beberapa 'posting' di media sosial mendakwa saya menyalahgunakan kuasa mengeluarkan surat sokongan sebagaimana yang ditularkan.

"Saya menafikan pernah mengeluarkan atau menggunakan surat sebagaimana kandungan yang ditularkan, bahkan ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dengan membabitkan ahli keluarga saya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ketika ini tular satu surat yang ditandatangani beliau memohon supaya segala urusan berkaitan kerajaan perlu diberi keutamaan.

Dalam surat tersebut juga beliau mengesahkan bahawa Mad Shah Alun adalah bapanya dan pengesahan itu dibuat bagi membolehkan semua urusan berkaitan dengan kerajaan dipermudahkan.

Mohd Hairi berkata, beliau ingin bertanya dan meminta kepada pihak yang menularkan surat itu bagi mengemukakan bukti daripada mana-mana jabatan atau agensi jerajaan di negeri ini yang ada menerima surat berkenaan daripada beliau atau pejabatnya.

"Dengan adanya pelbagai aplikasi dan teknologi masa kini, tidak mustahil paparan surat ini adalah palsu dan disunting pihak tertentu dengan niat mahu memburukkan serta menjatuhkan reputasi saya," katanya. - Sinar Harian