Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong mendakwa sampel air yang diambil dari kawasan Nilai, Negeri Sembilan mengandungi 4-bromodiphenyl ether, iaitu sejenis racun.

Beliau berkata sampel berkenaan juga menunjukkan keadaan air dari kawasan berkenaan berada di pencemaran tahap empat, iaitu pada tahap bau yang kuat.

"Pada hari pertama pencemaran kita lihat banyak ikan yang mati dalam sungai, dalam pencemaran biasa ikan tidak mati walaupun ia pencemaran serius, jadi ini menandakan bahan dalam air itu merupakan sesuatu yang sangat berbahaya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wong berkata masalah pencemaran Sungai Semenyih masih berada di tahap kritikal dan kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan untuk menangani masalah itu.

"Buat masa sekarang kita sedang mengepam keluar air yang tercemar tetapi pencemaran ini memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya," katanya.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup lebih dari lima kali dalam tahun ini akibat pencemaran dengan yang terbaru pada 23 lepas akibat pencemaran di Sungai Semenyih yang disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.

Susulan itu, kerajaan mengumumkan satu pasukan khas melibatkan kerjasama agensi di bawah kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor akan ditubuhkan bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menjejaskan 1.6 juta pengguna di negeri itu.

Wong sebelum itu hadir untuk mendengar persidangan Kamar Khas di Dewan Rakyat membabitkan Ong Kian Ming (DAP-Serdang) yang meminta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk mendedahkan laporan pembuangan efluen oleh premis perindustrian.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri bagaimanapun menjelaskan laporan pembuangan efluen (sisa pembuangan) yang dikeluarkan oleh premis perindustrian tidak boleh didedahkan kepada orang awam.

Beliau berkata ia selaras dengan peruntukan Seksyen 50, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Perahsiaan) yang tidak membenarkan sebarang maklumat dikeluarkan berkenaan dengan pentadbiran dan pelaksanaan akta itu atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya berhubung dengan apa-apa proses pengilangan atau rahsia tred yang digunakan pada menjalankan sesuatu tred, perindustrian atau proses tertentu. - Bernama