KUALA LUMPUR: Pembayaran Faedah Pencen Penakat kepada waris keluarga Gillian Donald yang meninggal dunia akibat terhidu asap berlebihan selepas menyelamatkan tujuh sekeluarga dalam kebakaran di Merinding Garden, Labuan pada Januari lepas akan disegerakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata semakan mendapati Gillian, 41, merupakan Orang Berinsurans di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Beliau berkata Allahyarham layak menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 secara sekali bayar serta Faedah Pencen Penakat yang dalam proses dimuktamadkan jumlahnya sebelum pembayaran dibuat kepada waris.

"Isteri, Siti Juana Maarop, 39, serta tiga orang anak berumur 4 hingga 15 tahun akan menerima Faedah Pencen Penakat untuk sepanjang hayat sehingga tiga anaknya berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 Jan lepas, Gillian sanggup bergadai nyawa meredah api menyelamatkan jirannya tujuh sekeluarga termasuk kanak-kanak dan seorang warga emas yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres, sebelum dirinya rebah dan disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas dipercayai disebabkan terhidu asap yang berlebihan.

Mohammed Azman turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan berharap bantuan dihulurkan sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung.

-- BERNAMA