KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil membidas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Afif Bahardin yang dianggapnya membuat kenyataan seksis terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) Pang Sock Tao.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian sebagai respons kepada paparan video Dr Afif di instagram baru-baru ini, yang mendakwa Pang, 31, dipilih semata-mata disebabkan peranannya sebagai 'proksi' kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

"Saya rasa ia seolah-olah Afif tidak mengiktiraf kebolehan seorang calon wanita boleh berdikari. Bagaimana beliau boleh keluarkan kenyataan begitu, mengatakan bahawa dia (Pang) proksi kepada sesiapa. Pang boleh berdikari, bukan proksi sesiapa, lihat sahaja rekodnya.

"Afif seorang doktor, gunakan akal, fikirkan dengan jelas. Ia seolah-olah beliau misoginis. Hormatilah calon wanita. Beliau sepatutnya menggalakkan lebih ramai wanita tampil untuk bertanding, jangan jadi seksis," kata beliau yang merupakan ketua penerangan PKR.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Wisma Bernama di sini hari ini.

Untuk rekod Pang yang merupakan setiausaha publisiti DAP Cawangan Pekan Ampang sebelum ini antara lain pernah bertugas sebagai penyampai berita UbahTV DAP, di samping berkhidmat sebagai setiausaha akhbar Nga.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Sementara itu mengulas mengenai isu Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli yang dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa, Fahmi berkata agensi itu perlu diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh.

"Saya percaya SPRM akan ikut proses dan lunas undang-undang, kita minta semua pihak bersabar dan beri ruang kepada mereka untuk lakukan siasatan," katanya.

Sementara itu Fahmi mempertahankan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membuat laporan polis ke atas penulis blog Murray Hunter yang menuduh agensi itu dan Polis Diraja Malaysia sebagai institusi berlandaskan politik dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

"Saya rasa mereka (MCMC) mempunyai asas undang-undang untuk mengambil tindakan berkenaan. Bagi Lawyers for Liberty (LFL) mereka boleh komen dan kritik.. silakan.

"Cuma saya beri peringatan kita berhak untuk kritik (dan) bersuara, tapi tidak berhak untuk memfitnah atau menyentuh isu bangsa, agama dan raja-raja (3R)," katanya.

Semalam MCMC memaklumkan penulisan Hunter dilihat berunsur fitnah apabila secara terbuka menuduh MCMC bertindak melangkaui bidang kuasanya untuk kepentingan diri, selain melemparkan tohmahan bahawa MCMC dan PDRM bertindak menakut-menakutkan masyarakat.

Ia menyebabkan kumpulan peguam LFL mengkritik MCMC dengan menyatakan langkah suruhanjaya itu membuat laporan polis sebagai melampau dan tidak perlu.

-- BERNAMA