KUALA PERLIS: Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengadakan lawatan ke Pusat Pembelajaran Komuniti Kampung Seberang Ramai (CLBC), di sini pada Ahad.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Turut mengiringi lawatan berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam kunjungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan meninjau aktiviti kelas tuisyen Bahasa Inggeris yang sedang berlangsung dan disertai pelajar daripada komuniti setempat.
Para pelajar turut mengikuti sesi pembelajaran dan ceramah berkaitan jauhi buli, pengenalpastian maklumat palsu serta keselamatan siber.
Pendedahan itu memberi kesedaran awal kepada kanak-kanak dan pelajar mengenai kepentingan melindungi diri ketika menggunakan teknologi dan berada dalam persekitaran digital.
Selain itu, ceramah berkaitan Keselamatan Pengguna dan Integriti Rangkaian Komunikasi Negara turut menekankan kepentingan menggunakan kemudahan komunikasi secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Ia termasuk meningkatkan kewaspadaan terhadap penipuan dalam talian, kandungan berbahaya serta pelbagai ancaman siber.
Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada pengisian Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, yang turut memberi peluang kepada peserta mendekati komuniti serta mengenali keunikan identiti dan warisan tempatan.
Dalam program berkenaan, Fahmi turut meluangkan masa menyusuri beberapa lokasi menarik di kawasan tersebut, antaranya Laman Congkak, Laman Bunga Kertas, Laman Laksa, Rumah Dodol dan Jambatan Tuanku Syed Putra.
Pada program sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih sempena Kayuhan MAIPs Peduli edisi ke-68 bagi 2026.
Penerima berkenaan ialah Idrus Remli, 62, dari Taman Wai Permai; Salmiah Hamzah, 73, dari Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis dan Rusnani Khamis, 63, dari Kampung Wai.
Kayuhan MAIPs Peduli merupakan antara inisiatif rutin MAIPs bagi mendekati masyarakat secara langsung, selain menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Inisiatif itu turut mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh pendekatan turun padang dan libat urus bersama komuniti, selain memastikan kebajikan golongan yang memerlukan terus diberi perhatian.