BUKIT MERTAJAM: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan jawatankuasa khas sejak dua bulan lepas sebagai persiapan awal menghadapi kemungkinan kesan fenomena El Nino terhadap bekalan makanan negara.
Pengerusinya Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata langkah itu dibuat lebih awal tanpa menunggu fenomena berlaku, termasuk melalui perancangan pembelian dan penyimpanan stok produk agromakanan di gudang FAMA di seluruh negara.
"Pada peringkat FAMA, kita sudah membentuk satu jawatankuasa dua bulan lepas, memang perkara ini (El Nino) boleh dikatakan akan berlaku setiap tahun, cuma tahun ini kita buat awal dan tidak menunggu kejadian itu berlaku dulu.
“Apabila kita ambil tindakan proaktif, kita dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) maklumkan bila musim itu bermula, jadi kita buat persediaan awal pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui pada program JAM Mega Pulau Pinang 2026 di sini hari ini, dan majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol.
Abang Ahmad Kerdee berkata FAMA turut merancang pembelian produk agromakanan tertentu untuk disimpan di gudang sebagai stok penampan sekiranya berlaku gangguan terhadap bekalan, termasuk akibat masalah import dan eksport.
FAMA juga mempunyai rangkaian gudang di setiap negeri, termasuk kemudahan bilik sejuk yang akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.
"Antara produk yang disimpan termasuk kira-kira 34 jenis barangan agromakanan seperti cili merah, cili hijau, kubis dan bawang, selain produk makanan lain seperti ayam dan daging.
“ … kita ada backup plan sekurang-kurangnya produk tersebut mencukupi untuk bekalan beberapa bulan, keterjaminan makanan di Malaysia terjamin,” katanya.
Pendekatan berkenaan turut mengambil iktibar daripada pengalaman negara ketika pandemik COVID-19, apabila aspek perancangan awal dan penyimpanan stok makanan terbukti penting dalam memastikan kesinambungan bekalan.
Beliau berkata peranan FAMA amat penting dalam menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara, selaras dengan tanggungjawab agensi itu dalam memastikan bekalan produk agromakanan dapat diperoleh secara berterusan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata potensi fenomena El Nino mencapai kategori sangat kuat atau El Nino Super antara Oktober dan Disember kini melebihi 90 peratus.
-- BERNAMA