Ringkasan AI
- Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan hukuman tahanan di rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta selepas dibawa dari Penjara Kajang.
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan perintah pelepasan denda dan mengarahkan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah.
- Perintah ini selaras dengan pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong, dengan syarat ketat dan pemantauan Jabatan Penjara Malaysia.
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tiba di kediaman peribadinya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta tepat jam 9.30 malam Selasa bagi memulakan pelaksanaan hukuman tahanan di rumah.
Kenderaan yang membawa beliau tiba dengan kawalan ketat di bawah iringan konvoi kenderaan rasmi Jabatan Penjara Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus dari Penjara Kajang, susulan penyelesaian proses dokumentasi pelepasan pada petang tadi.
Sebaik kenderaan melintasi pintu pagar utama kediaman, segelintir penyokong setia yang menunggu di pekarangan luar sejak petang mula melaungkan sorakan "Bossku" bagi menyambut ketibaan beliau.
Kawalan keselamatan di sekitar laluan masuk kediaman berkenaan diperketatkan oleh pihak berkuasa sejurus ketibaan konvoi bagi memastikan kelancaran pergerakan serta mengawal situasi persekitaran yang turut dipenuhi pengamal media.
Kepulangan Najib ke kediaman peribadinya menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada petang Selasa yang membatalkan sepenuhnya 'Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda' (Order of Discharge on Payment of Fine) bertarikh 6 November lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin dalam prosiding klarifikasi di mahkamah terbuka menggantikannya dengan suatu perintah baharu yang secara spesifik mengarahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di alamat Langgak Duta.
Perintah terkini tersebut selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September 2026, susulan penyelesaian bayaran penuh denda RM50 juta pada 6 November lalu menerusi Resit No. WA0926000638.
Dokumen kehakiman itu turut merekodkan bahawa sekiranya tertuduh gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, pengampunan bersyarat tersebut akan terbatal serta-merta dan beliau wajib dikembalikan ke penjara.
Peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menyifatkan perintah baharu yang dikeluarkan mahkamah hari ini sebagai satu keputusan yang sememangnya dinantikan oleh pihak pembelaan.
"Ia satu kelegaan muktamad yang besar bagi beliau. Saya fikir beliau layak mendapat perintah ini kerana telah melepasi lebih 50 peratus tempoh pemenjaraan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejurus selepas prosiding.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee menegaskan bahawa di bawah kerangka undang-undang sedia ada, status tahanan di rumah ini masih diklasifikasikan sebagai pemenjaraan.
"Beliau tetap tidak boleh meninggalkan rumah melainkan mendapat kebenaran khas atau atas sebab-sebab tertentu yang munasabah," jelasnya sambil memaklumkan bahawa sebarang urusan ziarah atau kehadiran pelawat di kediaman itu tertakluk sepenuhnya kepada prosedur ketat Jabatan Penjara.
Dalam masa sama, pihak pembelaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas pertimbangan teliti yang diberikan dalam memperkenankan perintah tahanan di rumah berkenaan.