NATIONAL
Farid Kamil akhirnya lepaskan Diana Danielle

Farid Kamil dan Diana Danielle bersalaman selepas selesai prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
KUALA LUMPUR: Aktor dan pengarah, Farid Kamil Zahari akhirnya bersetuju melepaskan isterinya, Diana Danielle pada pagi Isnin.
Menerusi prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, Farid Kamil, 43, dan Diana Danielle, 33, sah bercerai talak satu buat kali kedua.
Peguam syarie yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bercerai secara baik dan lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin.
“Kedua-dua belah telah bersetuju untuk bercerai secara baik. Jadi Farid telah ceraikan Diana dengan talak satu buat kali kedua."Alhamdulillah, kita dah selesaikan secara baik," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas prosiding perceraian itu selesai.
Malah kedua-duanya juga dilihat berjalan beriringan sebaik keluar dari dewan perbicaraan pada jam 10.50 pagi sebaik kes itu diselesaikan.
Ditanya mengenai keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP), Akberdin berkata, ia tidak dibacakan oleh Hakim Syarie berikutan pasangan sudah setuju bercerai secara baik.
"Keputusan laporan JKP itu ada, tetapi apabila pasangan setuju bercerai secara baik, maka tiada keperluan untuk dibentangkan dan hakim pun tidak baca tadi.
"Kita terus kepada permohonan asal untuk dilepaskan secara baik. Jadi, kandungan sebelum ini tidak relevan lagi," katanya.
Farid pula diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Terdahulu, pada 4 November tahun lalu Diana hadir ke mahkamah bagi membuat pendaftaran rujuk dan kemudiannya memfailkan semula permohonan cerai kali kedua terhadap Farid.
Pada 16 Disember 2024, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini memerintahkan pasangan Farid dan Diana melantik wakil JKP susulan keengganan Farid melafazkan cerai terhadap Diana.
Farid melantik peguamnya, Fakhrul Azman sebagai wakil untuk laporan JKP itu.
Sebelum ini, Farid dan Diana berdepan masalah rumah tangga dan mereka bercerai kali pertama melalui Google Meet pada 10 Ogos 2023. Bagaimanapun, mereka sepakat rujuk ketika di dalam tempoh iddah.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkongsian hidup 13 tahun itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad, 12 dan Nur Aurora, 10. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami