KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) agar mengkaji semula Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP).

Presiden FDAM Ahmad Ibrahim dalam kenyataan berkata MyCAP diwujudkan bagi menilai tahap kemahiran penggiat seni yang terlibat dalam industri kreatif, namun pelaksanaannya masih kabur dan tidak jelas untuk diterima penggiat seni.

Beliau berkata FINAS memberikan persetujuan terhadap cadangan itu dalam satu pertemuan dengan FDAM baru-baru ini.

Beliau turut meminta supaya Padu Citra yang dimansuhkan pada 1 Feb 2021 lepas diwujudkan semula sebagai syarat wajib, bagi menggalakkan setiap permohonan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) menjadi anggota persatuan, iaitu bagi kategori pengarah perlu menjadi anggota FDAM, bagi kategori pelakon menjadi anggota Persatuan Seniman Malaysia, manakala bagi kru produksi menjadi anggota Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).

"FDAM berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Prof Md Nasir Ibrahim yang prihatin dan peka pada permasalahan industri termasuk isu MyCAP dan Padu Citra," katanya pada Isnin.

-- BERNAMA