Felcra Berhad (Felcra) menjalin kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memantapkan pembangunan modal insan dan pendidikan generasi kedua serta ketiga agensi itu, lapor BERNAMA.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jalinan kerjasama itu merangkumi pembangunan keusahawanan termasuk pinjaman kewangan kepada generasi kedua Felcra dan pembangunan pendidikan kepada generasi ketiganya.

"Felcra sudah melahirkan lebih 1,600 usahawan tetapi (dengan) adanya kerjasama dengan MARA dan dana kewangan, saya rasa lebih banyak usahawan yang akan dibangunkan," katanya pada Pra-Pelancaran Sambutan 50 Tahun Felcra, di Perkarangan Utama Sri Pentas, di sini hari ini.

Pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) yang turut diadakan pada prapelancaran itu, Felcra diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Zulkarnain Md Eusope dan Mara diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Ibrahim Ahmad.

Ismail Sabri berkata Felcra dan MARA akan memperhalusi butiran kerjasama yang bakal dijalankan termasuk sasaran usahawan yang bakal diberikan dana pinjaman nanti.

"Kita tidak tahu mungkin esok Felcra sudah ada cukup kewangan untuk wujudkan MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) Felcra pula.

"Atau mungkin dengan adanya kerjasama strategi lautan biru (kebangsaan), Felcra bersama Risda dan lain-lain wujudkan satu MRSM sendiri...ini mungkin perkara yang kita lihat pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sepanjang 50 tahun penubuhannya sejak 1966, Felcra telah melakar pelbagai kejayaan termasuk memperoleh keuntungan terkumpul hasil ladang yang telah dibayar kepada peserta sebanyak RM5.76 bilion pada 1997 hingga 2015 selepas dikorporatkan, berbanding hanya RM468 juta pada 1989 hingga 1996 sebelum dikorporatkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Felcra kini telah berjaya membangunkan 260,000 hektar tanah untuk 110,420 peserta berbanding 1,700 hektar untuk 547 peserta pada peringkat awal penubuhannya.

Pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Felcra Datuk Bung Moktar Radin, Ismail Sabri turut melepaskan konvoi Kembara Media 50 Tahun Felcra. Konvoi melibatkan 200 peserta termasuk media menaiki 50 kereta menjelajah beberapa kawasan Felcra di Perak selama satu setengah hari bermula hari ini. - BERNAMA